Selasa, 26 Mei 2009

HARI KELUARGA PASTI AL-BUSYRA









Sambutan Hari Keluarga Pasti Al-Busyra Pengadang Baru, Kuala Terengganu telah diadakan pada 23 Mei 2009 (Sabtu) di perkarangan Masjid Jamek Pengadang Baru. Berbagai-bagai acara telah diadakan.
Selain daripada acara untuk kanak-kanak, acara untuk ibu bapa dan pemuda juga diadakan bagi memeriahkan sambutan tersebut.

Khamis, 7 Mei 2009

Ubat Antikeresahan

Pengenalan

  • Ubat antikeresahan ialah ubat preskripsi untuk menenangkan pesakit yang mengalami keresahan yang terlampau, dan untuk merangsang tidur (sedatif atau alat bantu tidur).
  • Jenis ubat yang selalu digunakan ialah benzodiazepin.
  • Ianya bertujuan untuk kelegaan jangka pendek bagi keresahan yang terlampau.

Ubat Preskripsi

Benzodiazepines

Ubat benzodiazepin yang sering digunakan untuk merawat keresahan ialah:- Alprazolam (Xanax), Diazepam (Valium) and Lorazepam (Ativan).

Benzodiazepin menggantikan barbiturat memandangkan potensi penyalahgunaan, kesan sampingan dan masalah interaksi benzodiazepin yang rendah (kelebihan dos barbiturat adalah punca utama kematian).

Jangkamasa tindakan

Benzodiazepin terbahagi kepada beberapa kumpulan bergantung kepada jangkamasa tindakan.

  1. Jangkamasa pendek (contohnya Alprazolam)
    • Bertindak kurang dari enam jam
    • Kesan ubat yang berpanjangan adalah sedikit sekiranya diambil sebelum tidur, tetapi kesukaran tidur mungkin berulang dan menyebabkan keresahan di kala terjaga dari tidur.
    • Berkesan untuk mengatasi masalah kesukaran untuk tidur
  2. Jangkamasa sederhana (contohnya Temazepam)
    • Bertindak selama 6-10 jam
    • Kesan ubat yang berpanjangan adalah sedikit
    • Kesukaran tidur yang berulang jarang berlaku
  3. Jangkamasa panjang (contohnya Lorazepam)
    • Kesan sedatif yang kuat dan berpanjangan
    • Pengumpulan ubat dalam badan boleh berlaku
    • Jangkamasa penyingkiran ubat berbeza di antara individu terutamanya warga emas
    • Biasanya ia lebih berkesan untuk membantu keresahan berbanding sebagai alat bantu tidur atau sedatif.

Alprazolam

Digunakan sebagai antikeresahan lebih dari digunakan sebagai ubat tidur, walaupun ia mempunyai jangkahayat yang pendek.

Lorazepam

Berpotensi untuk memudaratkan lagi keadaan lupa dan keliru.

Bukan pilihan terbaik untuk kegunaan jangka panjang bagi warga emas disebabkan kesan pelupa

Mungkin pilihan terbaik untuk jangka pendek bagi pesakit muda yang tidak mengambil minuman beralkohol memandangkan ubat ini kurang memberikan kesan sedatif.

Kesan sampingan

  • Mengantuk, koordinasi otot tidak seragam, kekeliruan, gayat, dan gangguan pertimbangan adalah kesan sampingan yang biasa dialami.
  • Benzodiazepin mungkin mengganggu keupayaan untuk memandu dan mengendalikan jentera. Kesan gangguan ini semakin buruk sekiranya diambil bersama dengan minuman beralkohol memandangkan kedua-duanya bertindak pada sistem saraf pusat.
  • Pengambilan benzodiazepin bersama alkohol boleh menyebabkan kematian.
  • Kesan ubat benzodiazepin jangkamasa panjang juga boleh berpanjangan sehingga keesokan harinya.
  • Penggunaan benzodiazepine yang berpanjangan boleh menyebabkan masalah keresahan yang dialami lebih teruk samada orang itu mempunyai sejarah psikiatrik atau tidak.

Kesan Mudarat

2 jenis kesan mudarat mungkin berlaku disebabkan penggunaan berpanjangan ubat anti keresahan:

  1. Kesan kebergantungan
    • Ubat ini boleh menyebabkan kesan kebergantungan sekiranya diambil secara berterusan selama 2 minggu.
  2. Kesan gian
    • Pemberhentian mendadak pengambilan ubat anti keresahan boleh mengakibatkan reaksi yang teruk dan berpotensi mengancam nyawa, seperti juga kesan gian dari alkohol menyebabkan kecelaruan.
    • Tempoh kesan gian di kalangan ubat berbeza-beza. Dalam tempoh 12 hingga 24 jam yang pertama, seseorang itu mungkin berasa cemas, gelisah, terketar-ketar dan lemah.
    • Sawan mungkin terjadi pada mereka yang mengambil dos yang tinggi. Kadang-kadang, sawan boleh berlaku 1 hingga 3 minggu selepas pemberhentian ubat.
    • Gejala gian benzodiazepin boleh berlaku bila-bila masa sehingga tempoh 3 minggu setelah pemberhentian ubat jangkamasa panjang, tetapi boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam sahaja dengan ubat jangkamasa pendek.
    • Kesan-kesan lain yang boleh berlaku sewaktu pemberhentian ubat termasuklah penyahidratan, kecelaruan, tidak boleh tidur, kekeliruan, dan halusinasi (melihat atau mendengar tentang benda yang tiada disitu).

Langkah Berjaga-jaga

Jangan tingkatkan dos atau mengambil lebih dari yang disarankan oleh doktor.

Walaupun kemungkinan kerosakan hati adalah kecil apabila ubat diambil pada dos yang telah disarankan, ianya masih perlu dipertimbangkan pada setiap individu, terutama mereka yang mengambil ubat-ubatan lain termasuklah ubat penahan sakit dan/ atau alkohol

Arahan Khusus

  • Makan ubat bersama makanan atau susu sekiranya berlaku ketidakselesaan perut. Toleransi terhadap ubat menyebabkannya kurang berkesan dengan penggunaan yang berpanjangan.
  • Jangan berhenti mengambil ubat ini tanpa kebenaran doktor.
  • Dos ubat anda mungkin perlu direndahkan sekiranya anda telah mengambilnya untuk satu tempoh yang lama.

Maklumat Am

  • Sebelum mengambil ubat ini, sila beritahu doktor anda mengenai sejarah pengubatan terutamanya penyakit hati atau ginjal, alahan ubat.
  • Alkohol atau jenis ubat sedatif lain akan mengakibatkan rasa amat mengantuk. .
  • Hadkan pengambilan alkohol.
  • Warga emas adalah lebih sensitif terhadap kesan ubat ini. Guna dengan berhati-hati.
  • Ubat ini tidak disyorkan sewaktu hamil. Bincanglah dengan doktor anda mengenai risiko dan manfaat ubat ini.
  • Ubat ini mungkin meresap ke dalam susu badan, sila rujuk doktor anda sebelum menyusukan anak anda.

Kaedah Penyimpanan

  • Memandangkan ubat ini sering disalahgunakan, kaedah penyimpanannya perlu diberi lebih perhatian.
  • Jangan campur ubat ini dengan ubat-ubatan lain.
  • Simpan ditempat yang sejuk, kering dan jauh dari kanak-kanak.

Anti Kemurungan

Pengenalan

Ubat antikemurungan (antidepresi) ialah ubat yang digunakan untuk melegakan tanda-tanda kemurungan. Ia juga mempunyai kesan penenang. Terdapat empat jenis ubat anti kemurungan iaitu:

  • Trisiklik (Tricyclic)
  • RIMAs (Reversible Inhibitors of Monoamine Oxidase type A)
  • SSRIs (Selective Serotonin Reuptake Inhibitors)
  • SNRIs (Serotonin and Noradrenaline Reuptake Inhibitors)

Bagaimana ia bertindak?

Kemungkinan besar ubat ini menambah aktiviti bahan kimia di dalam otak yang dikenali sebagai pemancar neuro. Pemancar neuro menghantar isyarat dari satu sel otak kepada sel otak yang lain. Bahan kimia yang terbabit dengan kemurungan dikenali sebagai Serotonin dan Noradrenalin.

Bagaimana anda mengambil ubat ini?

  • Ambil ubat setiap hari seperti yang diarahkan. Jangan ubah dos ubat sendiri.
  • Kesan terapeutik ubat hanya boleh dilihat selepas dua minggu, jadi menunggu adalah penting.
  • Kesan sampingan ubat akan berkurangan setelah beberapa lama diambil.
  • Rujuk kepada doktor anda sekiranya kesan sampingan tidak disenangi. Doktor mungkin mencadangkan ubat dari jenis yang lain.

Kesan Mudarat

Trisiklik

    Kesan sampingan ubat trisiklik yang biasa adalah kering mulut, menggeletar, peningkatan degupan jantung, sembelit, mengantuk dan kenaikan berat badan. Di kalangan warga emas, ubat ini mungkin menyebabkan kekeliruan, kesukaran untuk membuang air kecil, rasa hendak pitam dan jatuh. Elak dari menggunakan trisiklik sekiranya anda mempunyai masalah jantung. Bagi kaum lelaki, mereka mungkin mengalami mati pucuk atau ejakulasi yang lambat.

RIMAs

    Elakkan mengambil ubat RIMAs dengan makanan yang mengandungi Tyramine (contoh: keju, minuman beralkohol, cokelat, dadih, sos soya) kerana ia boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Jika anda mengambil ubat RIMA, doktor atau ahli farmasi akan memberikan anda senarai makanan yang perlu dielakkan.

SSRIs

    Kesan sampingan pada perut adalah biasa dan ianya berkait rapat dengan dos ubat. Ini termasuklah rasa mual, muntah, perut tidak selesa (dyspepsia), sakit perut, cirit birit, sembelit, tiada selera makan dan kehilangan berat badan. Terdapat juga kesan sampingan lain yang berkaitan dengan ubat ini.

    Sekiranya anda rasa kesan sampingan ini adalah disebabkan oleh SSRI yang anda ambil, sila sahkan dengan doktor atau ahli farmasi.

SNRIs

    Kesan sampingan ubat ini adalah serupa dengan SSRIs.

Langkah Berjaga-jaga

  1. Memandu atau menggunakan jentera

    Terdapat ubat antikemurungan yang menyebabkan kesan mengantuk dan melambatkan tindakbalas anda. Sila rujuk kepada doktor anda sekiranya pekerjaan anda melibatkan pengendalian mesin atau pemanduan.

  2. Gejala gian

    Ubat antikemurungan selalunya tidak menyebabkan ketagihan tetapi sesetengah orang mungkin mengalami gejala gian apabila mereka berhenti menggunakan ubat SSRIs or SNRIs. Kesannya termasuklah perut tidak selesa, gejala selsema, keresahan, pening, mimpi ngeri pada waktu malam dan mengalami sensasi seperti terkena kejutan elektrik. Bagi mengurangkan kesan sampingan ubat ini, doktor akan menurunkan dos ubat secara berkala. Jangan berhenti mengambil ubat ini secara mendadak.

  3. Golongan remaja

    Jika mendapat preskripsi doktor, Ubat SSRIs boleh diambil oleh golongan yang berumur di bawah 18 tahun, tetapi dengan lebih berhati-hati.

  4. Kehamilan

    Elakkan daripada menggunakan sebarang jenis ubat antikemurungan sewaktu hamil, terutamanya dalam tempoh 3 bulan pertama kehamilan kerana ia menyebabkan risiko kecacatan pada bayi yang bakal dilahirkan. Pada kebiasaannya rawatan alternatif akan dipertimbangkan kecuali dalam keadaan kemurungan yang teruk dan boleh mengancam nyawa ibu atau anak, penggunaan ubat anti kemurungan tidak dapat dielakkan.

Kaedah Penyimpanan

Simpan ubat anda di dalam bekas asal dan ditutup ketat. Simpan pada suhu bilik dan jauhkan daripada kanak-kanak, keadaan panas dan kelembapan yang melampau.

Jumaat, 1 Mei 2009

Dementia (nyanyuk)

Dementia (nyanyuk)

Pengenalan

Dementia adalah sejenis penyakit otak yang progresif. Ia boleh membawa kepada penurunan dalam menjalankan aktiviti harian dan boleh menyebabkan pesakit memerlukan penjagaan masa panjang.

Sebahagian dari pesakit dementia kurang/tidak berupaya melakukan aktiviti-aktiviti harian. Mereka juga sukar untuk menyelesaikan masalah atau mengawal emosi.



Berapa kerap berlakunya dementia?

Kadar kekerapan dementia berlaku adalah di antara 2% hingga 20%. Ianya berganda setiap 5 tahun peningkatan usia bagi mereka yang berumur 65 tahun ke atas. Lebih dari separuh pesakit dementia mengalami penyakit Alzheimer.



Siapakah yang mempunyai lebih tinggi risiko mendapat dementia?

  • Setengah jenis dementia lebih tinggi di kalangan wanita.
  • Mereka yang mengalami masalah tekanan darah yang tak terkawal, penyakit kencing manis, penyakit jantung, paras lemak dalam darah yang tinggi
  • Pesakit yang mengalami penyakit Parkinson.
  • Mereka yang terencat akal atau tahap pembelajaran yang rendah.

Ada juga terdapat fakta genetik/ keturunan yang didapati meninggikan risiko tanpa menyebabkan penyakit berlaku.

Tanda-tanda dan gejala
  • Hilang daya ingatan yang menyebabkan masalah dalam pekerjaan atau perjalanan kehidupan harian.
  • Masalah dengan aktiviti yang biasa dilakukan, seperti memasak, mandi dan mengenakan pakaian.
  • Sukar mencari perkataan yang mudah, sukar menerangkan sesuatu, atau kerap mengulangi percakapan (echolalia).
  • Masalah dalam orientasi, contohnya kerap hilang arah walaupun di kawasan yang biasa dilalui
  • Hilang keupayaan membuat penilaian
  • Masalah dalam pemikiran abstrak, misalnya mengalami masalah menentukan apa yang ingin di beli semasa keluar membeli belah.
  • Meletak barang di tempat lain atau kerap tertinggal barang.
  • Perubahan emosi secara tiba-tiba, biasanya dengan tidak bersebab. Mereka mungkin mengalami perubahan dalam tingkah laku.
  • Perubahan dalam perwatakan, daripada seseorang yang peramah kepada seseorang yang cepat marah, cemburu atau penakut (timid)
  • Hilang minat dan kecenderungan dalam pekerjaan dan hobi mereka.

Anda boleh mencuba ujian ini (SDS, Mundt et al,) untuk mendapati adakah anda atau mana-mana ahli keluarga anda mungkin mengalami dementia



Komplikasi

Jika dementia tidak dikesan awal, beberapa akibat mungkin terjadi, seperti:

  • Peningkatan dalam penyakit fizikal atau penyakit mental
  • Peningkatan dalam kadar kematian.
  • Dementia boleh membawa kepada kemasukan dalam institusi penjagaan dengan lebih awal.
  • Ia boleh menimbulkan tekanan kepada penjaga dan menimbulkan penyakit fizikal dan mental di kalangan penjaga.
  • Ia boleh menyebabkan penderaan ke atas pesakit.
Bolehkah dementia dirawat?

Pada masa ini dementia tidak boleh diubati, tetapi pembelajaran dan sokongan kepada pesakit dan penjaga pesakit dementia dapat membantu dalam mengawal sesetengah gejala penyakit.

Ada terdapat beberapa jenis ubatan yang boleh menolong dalam mengawal gejala dan meningkatkan fungsi kognitif. Ada juga ubatan yang digunakan untuk merawat psikosis, kemurungan dan masalah emosi.



Pencegahan

Kajian mendapati bahawa aktiviti yang merangsang intelek seperti bermain catur, membaca dan sebagainya dapat mengurangkan risiko berlakunya dementia. Amalan cara hidup sihat boleh juga mengurangkan risiko mendapat dementia.



Rehabilitasi

Terdapat banyak terapi psikososial yang memberi manfaat kepada pesakit dementia. Ini termasuk memberi sokongan kepada pesakit dalam menjalani aktiviti harian mereka, menggalakkan aktiviti yang merangsang fungsi mental dan pancaindera mereka serta banyak lagi

Kumpulan sokongan yang berdekatan anda dapat membantu anda dalam memberi cadangan tentang aktiviti yang berkesan.


(Dipetik dari Portal My Health)